Zuraini Ramli
Objektif kajian ini bertujuan mengenal pasti keberkesanan pendekatan didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran simpulan bahasa. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian campuran dengan kaedah kuasi eksperimen berbentuk inferensi serta pemerhatian bukan peserta. Responden kajian ini dipilih melalui pensampelan mudah yang terdiri daripada 60 orang pelajar tingkatan empat daripada sebuah sekolah di Klang, Selangor. Dua set ujian simpulan bahasa, iaitu praujian dan pascaujian telah digunakan sebagai instrumen kajian. Ujian ini terdiri daripada 50 soalan simpulan bahasa dalam format objektif dan subjektif. Data kajian dianalisis menggunakan analisis statistik deskriptif dan inferensi, khususnya ujian-t dengan bantuan perisian Statistical Package for Social Sciences versi 27. Dapatan kajian ini menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian skor min pascaujian antara kumpulan kawalan (m=58.3) dan kumpulan rawatan (m=80.0). Pencapaian pascaujian kumpulan rawatan yang menjalani PdPc melalui pendekatan didik hibur lebih tinggi berbanding kumpulan kawalan. Nilai signifikan (t=-6.782, p<.001) membuktikan bahawa pendekatan didik hibur secara signifikan meningkatkan tahap penguasaan simpulan bahasa dalam kalangan pelajar berbanding pendekatan tradisional yang digunakan dalam kumpulan kawalan. Oleh itu, pendekatan didik hibur terbukti lebih efektif dalam meningkatkan tahap penguasaan simpulan bahasa dalam kalangan pelajar. Kajian ini menyumbang kepada pemahaman pedagogi mengenai strategi yang berkesan dalam pengajaran simpulan bahasa.