Siti Hawa Ezan
Penguasaan kemahiran menulis bahasa Melayu sebagai bahasa kedua merupakan cabaran utama bagi murid Cina di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) kerana bahasa Mandarin digunakan sebagai bahasa pengantar utama. Kajian ini bertujuan meneliti amalan penulisan bahasa Melayu serta sikap murid terhadap pembelajaran penulisan di SMPC. Kajian ini menggunakan reka bentuk kuantitatif berbentuk tinjauan dengan melibatkan 50 orang murid Tingkatan Lima di sebuah SMPC di Batu Gajah, Perak. Instrumen kajian ialah soal selidik yang disesuaikan daripada Zamri Mahamod et al. (2016) dan merangkumi konstruk amalan penulisan, strategi pembelajaran dan sikap murid. Data dianalisis secara deskriptif menggunakan nilai min dan sisihan piawai. Dapatan menunjukkan bahawa amalan penulisan murid berada pada tahap sederhana, dengan kecenderungan memilih kosa kata mudah, perancangan karangan asas dan semakan kendiri manakala sikap terhadap pembelajaran penulisan juga berada pada tahap sederhana. Kajian ini menyumbang kepada pemahaman empirikal tentang corak amalan penulisan murid Cina di SMPC serta mencadangkan implikasi pedagogi berfokus strategi bagi meningkatkan penguasaan penulisan bahasa Melayu khususnya dalam kalangan murid yang menggunakan bahasa ini sebagai bahasa kedua.